VIDEO: Gelanggang runtuh lagi angkara Big Show, Matt ‘Rosey’ Anoa’i meninggal dunia
Insiden runtuhan ini berlaku ketika perlawanan di antara bintang veteran itu dengan jaguh perkasa Braun Strowman. Di minit-minit akhir perlawanan, Big Show yang mempunyai berat lebih 400 paun diangkat oleh Braun dari puncak tali paling atas gelanggang, dan memberikan gerakan suplex berimpak tinggi.
Lantaran tidak mampu menampung berat kedua-kedua penggusti hasil hempasan tersebut, gelanggang telah runtuh sehingga menyebabkan pengadil John Cone yang mengadili perlawanan tercampak ke bawah.
Akibat runtuhan tersebut, Big Show dan pengadil John Cone terpaksa diiringi keluar oleh pasukan perubatan dan menerima rawatan lanjut. Namun tidak bagi Strowman. Beliau bangkit berdiri megah dan mempamerkan kegagahannya kepada penonton tanda berpuas hati dengan apa yang berlaku.
Melalui akaun Instagram peribadinya, Strowman menyatakan yang beliau akan mengingati insiden ini seumur hidupnya dan mengucapkan terima kasih kepada Big Show.
Untuk rekod, ini adalah kali ketiga gelanggang runtuh akibat hempasan badan Big Show yang menerima gerakan suplex yang sama. Dua lagi berlaku semasa perlawanan dengan Brock Lesnar dan Mark Henry.
Mujurlah pihak produksi terlupa untuk memasang gelanggang yang mempunyai paparan apron dan tiang LED sepertimana biasa. Jika tidak, pasti Vince McMahon akan pening kepala kerana mengalami kerugian aset yang bukan sedikit gara-gara runtuhan ini.
Matt ‘Rosey’ Anoa’i hembus nafas terakhir
Bekas bintang WWE, Matt Anoa’i atau lebih dikenali sebagai Rosey dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 47 tahun semalam. Punca kematian masih belum dikenalpasti, namun ia disyaki berkait dengan masalah kegagalan jantung yang telah dihidapinya sejak tiga tahun lalu.
WWE telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kematian bekas bintang mereka ini dan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Anoa’i. Untuk makluman, Matt adalah anak kepada bintang lagenda Hall Of Fame Sika, dan abang kepada bintang WWE waktu ini iaitu Roman Reigns.
Matt membuat kemunculan pertama di WWE pada tahun 2002 dan bergandingan dengan sepupunya, Jamal dalam pasukan 3 Minute Warning. Setelah berpisah, Matt berpasangan pula dengan Hurricane Helms dengan gimik adiwira dalam latihan dan berjaya merangkul Kejuaraan Regu Dunia WWE.
Jamal yang kemudian bertukar karakter kepada Umaga tidak lama kemudian, juga telah meninggal dunia secara mengejut pada 4 Disember 2009, juga dipercayai akibat masalah jantung.
Keluarga besar Anoa’i sememangnya tidak asing lagi dalam industri gusti profesional. Nama seperti Rikishi, Yokozuna, Umaga, Rosey, Meng/Haku, juga tidak ketinggalan The Rock adalah antara mereka yang mempunyai pertalian darah dan kekal menjadi sebuah keluarga lagenda yang amat signifikan kepada dunia gusti sejak tahun 60 an lagi.
Takziah buat Roman Reigns dan semua ahli keluarga Anoa’i.
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
SUMBER: http://www.stadiumastro.com/sukan/wwe/artikel/gelanggang-runtuh-lagi-angkara-big-show-matt-rosey-anoa-i-meninggal-dunia/36762
0 comments:
Post a Comment